Permaisuri Johor rasmi JSC di APCW 2023
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah mencemar duli merasmikan Majlis Persidangan Asia Pacific Climate Week di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru di sini. – Foto NSTP/Omar Ahmad

Oleh Omar Ahmad

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Kelestarian Johor (JSC) sempena persidangan perubahan iklim, Asia-Pacific Climate Week (APCW) 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, di sini, hari ini.

Dalam ucapan baginda pada persidangan itu, Raja Zarith Sofiah bertitah, penubuhan JSC adalah usaha memperkasakan rancangan pelan pembangunan Johor Hijau untuk melestarikan alam sekitar.

Baginda bertitah, JSC akan menjadi platform utama untuk agensi tempatan menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa bagi meletakkan inisiatif hijau kerajaan negeri ke tahap pelaksanaan.

“Justeru, adalah mustahak untuk JSC bekerjasama erat dengan universiti kerana institusi pendidikan berkenaan memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim, bukan sahaja dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi tetapi juga dalam memupuk kesedaran masyarakat serta generasi muda mengenai perubahan iklim.

“Kesan perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar akan menjadi cabaran utama dalam kehidupan sejagat, yang memberi kesan secara langsung kepada kita semua.

“Ia adalah risiko bukan sahaja kepada taraf hidup tetapi juga infrastruktur, pelaburan dan perniagaan. Malangnya, golongan paling terjejas ialah mereka yang sedia terdedah dengan aspek itu,” titah baginda.

Yang turut hadir ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Nik Nazmi pula memaklumkan, Malaysia mengalami kerugian berjumlah RM622.4 juta akibat bencana banjir yang melanda negara sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu bersamaan dengan 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun sama.

“Bencana banjir akibat kesan perubahan iklim turut menjejaskan biodiversiti serta memberi kesan kepada bekalan air dan keterjaminan makanan, sekali gus mengancam keselamatan serta kesihatan awam.

“Ketika ini, semua agensi kerajaan sedang bersiap siaga untuk berdepan Monsun Timur Laut, termasuk dengan meningkatkan sumber tenaga manusia dan aset yang diperlukan bagi menghadapi banjir.

“Dengan kesan perubahan iklim yang semakin memburuk, langkah adaptasi bersesuaian adalah kunci untuk menangani cabaran ini,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Nazmi berkata, pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, adalah hala tuju terbaik negara dalam mendepani isu berkenaan.

Source : Berita Harian